|
 |
...::
KISAH PENJUAL TEMPE
::... |
 |
Ada sebuah kampung di
pedalaman, di situ tinggal seorang perempuan tua yang
sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe
dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan
satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup.
Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya
sendiri.
Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang
bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia
tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang
soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.
Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak.
Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah
memang kesemuanya belum masak lagi.
Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang
masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan
tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya
yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan
firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat
melakukan perkara-perkara ajaib, ahawa bagi Nya tiada
yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya
sambil berdoa , "Ya Allah, aku memohon kepadaMu agar
kacang soya ini menjadi tempe. Amin"
Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh
hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan
doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan
bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun
membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban
kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung
seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.
Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin
doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun
mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya
Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu.
Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe
kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar
jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".
Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi
membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia
termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!!
Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu
pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak
kecewa atas doanya yang belum terkabul.Walaubagaimanapun
kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk
tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu.
Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan
pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila
sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia
berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa
perjalanannya ke pasar.
Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua
tangannya untuk berdoa. "Tuhan, aku percaya, Engkau akan
mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke
pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku,
jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di
sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di
dalam hatinya.
Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan
barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang
tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg
berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan
menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang
ada.
Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya
dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih
belum menjadi!!
Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam.
Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus
asa kepada Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia
berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya,
inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe.
Dia akhirnya hanya duduk sahaja tanpa mempamerkan barang
jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang
akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara
itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi,
para pembeli sudah mula kurang.
Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe,
tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu
seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari
ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun
jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir
kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya. Walaupun dia
tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat
pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali
terakhir, "Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik
terhadap tempeku yang belum menjadi ini." Tiba-tiba dia
dikejutkan dengan teguran seorang wanita.
"Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual
tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing
keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum
berjumpa lagi."
Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya
terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak
pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum
menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya
itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "Tuhan,
saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah
tempe ini seperti semula, Amin".
Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka
sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia,
ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia
pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Tuhan.
Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang
belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat
bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang
belum jadi?"
Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada
di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan
tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi
kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya
apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang
sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi,
nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan
rasanya pun kurang sedap.
Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir
rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Allah...
Moral:
Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada
Yang Maha Esa sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan
lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang
terbaik untuk diri kita.
Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan
seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali
berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah
bahawa Allah akan mengabulkan doa kita sesuai dengan
rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.
Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Allah.
Sumber:
http://www.familiazam.com/kisah_penjual_tempe.htm |
|
|
|
|
|
Guru
Besar |
|
 |
|
Tuan Haji
Hassan Bin Haji Johari
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar
Maharani, Muar. |
|
Menu
Utama |
|
|
|
Peti
Pesanan |
|
|
|
Quran Rawak |
|
|
|
|
|
Kemaskini Akhir |
|
Sunday, April 18, 2010 07:14 PM |
|